Monday, 16 September 2013

Aktiviti Di Rumah - Membaca

Bagaimana Untuk Menjadikan Rumah Kita Mesra Pembaca
======================================

Alhamdulillah.. kami ada beberapa tip untuk buat ibu bapa muda yang ingin melihat budaya membaca bercambah pada anak-anak di rumah.

Antaranya :
  • Pilih waktu yang tenang seperti sebelum masuk tidur samada pada waktu siang atau malam untuk sesi membaca bersama anak. .  Pada waktu ini, otak manusia berada dalam keadaan theta.  Suasana ini adalah penting untuk otak menyerap apa yang dibaca atau dilihat oleh anak-anak untuk disimpan ke bahagian memori.
  • Pilihlah tempat yang selesa seperti di katil, kerusi yang empuk atau ruang bacaan yang selesa.
  • Sekali sekala biarkan si manja anda memilih bahan bacaan yang hendak anda bacakan untuknya.
  • Pegang buku itu dengan  posisi yang membolehkan anak anda melihat perkataan dan gambar dengan jelas. Pastikan anak tidak melihat buku yang dibaca dalam kedudukan yang terbalik.  Anak akan jadi lebih seronok jika anda  memberi peluang untuk dia membuka helaian muka surat untuk dibacakan.
  • Berikan masa untuk anak meneroka gambar gambar menarik yang terdapat pada mukasurat tersebut. Anda boleh mengambil peluang untuk boleh bercerita serba sedikit tentang gambar itu.                 Contoh: "Anas pergi ke kebun Atuk dengan abah. Ha, tengok! ada rama rama, pepatung, siput, dan sebagainya. Ini warna hijau; Ini warna oren, dan seterusnya. Ini bentuk segitiga, ini bentuk bulat, dan seterusnya."
  • Tunjukkan kepada anak-anak yang anda seorang pembaca! Kanak-kanak belajar dari kelakuan orang dewasa dalam rumah mereka. Ibu bapa adalah model terbaik untuk mereka ikuti/imitate.
  • Untuk anak-anak yang sudah menunjukkan minat untuk membaca (pre-reader), galakkan mereka untuk bacakan buku kepada anda.  Tidak mengapa jika mereka bercerita mengikut imaginasi sendiri berdasarkan gambar yang mereka lihat.  Ibu bapa hanya perlu menggalakkan anak-anak ini menggunakan ayat yang betul semasa bercerita.
  • Ajaklah si kecil anda untuk sama-sama menulis senarai barang untuk dibeli jika anda hendak ke pasaraya.  Masukkan juga senarai buku yang hendak dibeli.
  • Jadikan read aloud sebagai rutin harian kepada permata hati anda setiap hari.
Pengalaman peribadi:

Kami masih ingat pengalaman membacakan buku kepada anak sulung kami 14 tahun yang lalu. Kami bacakan koleksi "Allah Makes Series" kepada Nureen Afiqah, puteri kami sejak dia berusia beberapa hari di dunia ini.  Kalau kami perlu keluar untuk urusan di luar rumah, kami akan pastikan sebuah atau dua buah buku berada dalam beg persalinan anak kecil ini. 

Pada suatu malam ketika  usianya 1 tahun lebih, kami mendukung anak kecil ini keluar berjalan di luar rumah.  Tanpa diduga, anak kecil ini tiba-tiba bersuara,"Ummi, moon! Star!" seraya jari halusnya menunjuk kepada bulan dan bintang yang bersinar di langit malam.  
Subhanallah, segala pujian hanyalah untukMu Ya Allah!
Terasa seperti bulan dan bintang turut bersorak dan bertepuk tangan meraikan kejayaan puteri kami menzahirkan apa yang dibacanya dari buku. Sudah tentu kami amat gembira dan berbangga mendengar tiga patah perkataan yang keluar dari mulut comel itu.  
Peristiwa ini telah membakar keazaman kami untuk terus melatih pembaca cilik kami ini. Sejak peristiwa pada malam itu, kami tidak pernah berhenti membacakan buku-buku kepadanya.
Kami juga mengalunkan bacaan al-quran dengan suara yang kuat agar dapat didengari oleh anak- anak semenjak mereka di peringkat bayi lagi. Mereka juga diperdengarkan dengan bacaan al-quran daripada cd  kerana kami percaya alunan ayat-ayat suci al-quran ini mampu memberikan impak yang luar biasa kepada proses perkembangan anak-anak kami.


No comments:

Post a Comment